B-O-D-O-H

B-o-d-o-h. Kamus Dewan edisi Tiga mendefinisikan bodoh sebagai sukar mengerti atau mempelajari sesuatu, bebal, dungu, tolol. Di suatu organisasi yang perdebatannya disiarkan secara langsung di kaca tv, dua tahun lalu, perkataan bodoh tidak dibenarkan penggunaannya dan diminta digantikan dengan kurang cerdik supaya bunyinya lebih sopan.

Tapi hari ini, perkataan yang didefinisikan sebagai 'kurang cerdik' itu meluncur keluar dari mulut yang empunya diri mungkin lebih dari sepatutnya. Subhanallah, ampunkanlah diriku yang bodoh ini. Tidak malu diri ini mengaku kebodohan kerana sedar diri ini dicipta sebagai hamba yang kurang sempurna. Tetapi terasa sedih diri ini apabila melihat saudara2 di sekelilingnya yang menafikan kelemahan diri.

Umpama peribahasa yang indah ditatap tapi tajam menghiris untuk mereka yang memahami - 'Bodoh tidak dapat diajar, pandai tidak dapat mengajar'. Mereka yang dimaksudkan peribahasa ini adalah golongan yang sentiasa berlagak pandai dan tidak mahu menurut bicara orang lain. Ataupun dalam bahasa kurang ajarnya 'bodoh sombong', lebih mudah difahami kan?

Lihatlah di sekeliling, berapa ramai di kalangan kita yang selayaknya digelar 'bodoh'? Rasanya dalam era teknologi maklumat yang mana pengetahuan berada di hujung jari, tiada sesiapa pun yang boleh dikatakan bodoh. Semuanya pandai...walaupun kebanyakannya mungkin berlagak pandai. Tapi berapa ramaikah yang cerdik, yang bijak menggunakan ilmu yang diperolehi untuk dikongsi bersama dan sekaligus mempelajari ilmu yang baru? Ilmu bukan seperti duit, makin dikongsi makin berkurang. Ilmu tidak seperti gunung, makin ditarah semakin landai. Salahkah menimba ilmu dari mereka yang arif, yang lebih tahu? Teguran, sekalipun sakit ditelan, adalah guru yang paling berkesan. Berkurangkah ilmu di dada sekiranya menerima teguran mereka yang lain, sekalipun yang berada di bawah?

Salahkah merendah diri untuk menampakkan bahawa kita insan yang berhemah tinggi? Mengalah tidak semestinya kalah.

Aduhai...

Biarlah si bodoh milik Yang Maha Bijaksana ini beredar untuk muhasabah diri.

Wassalam.

Comments

Popular posts from this blog

Taiping Eco-Trip 2D1N ~ From Kulim

The Homemade Laksa Kedah with a Penang's Twist

Untungnya...saya jadi cikgu